• news

    Malaysia Akan Bina Kilang Vaksin

    Malaysia akan bina kilang vaksin halal pertama di dunia

    Kerajaan akan membina kilang vaksin halal pertama di dunia di Negeri Sembilan yang bakal menempatkan Malaysia sebagai peserta antarabangsa dalam pengeluaran vaksin.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata usaha pembangunan kilang tersebut mengambil masa yang agak lama, namun yakin penyediaan kemudahan ini akan dapat memacu pengeluaran vaksin pada masa hadapan.

    Menurutnya, dengan pembinaan kilang tersebut pihaknya mampu memberi keyakinan kepada ibu bapa kerana vaksin yang dihasilkan dari kilang itu adalah halal.

    “Dari segi halal sememangnya telah ada vaksin yang halal yang telah dilakukan kajian terperinci dengannya dan kita dalam proses untuk membina kilang vaksin halal yang pertama dalam dunia.

    “Jika dapat dibina dan vaksin dapat dikeluarkan, saya yakin ia boleh memberi alternatif kepada ibu bapa kerana ianya halal dan mereka akan dengannya,” katanya pada Progam Larian Sepat Run Fresh and Fun di Pantai Sepat di sini, hari ini.

    Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terlibat dalam menubuhkan fatwa berkenaan suntikan vaksin imunisasi kanak-kanak yang menjadi isu hangat di kalangan ibu bapa.

    Isnin lalu, media turut melaporkan beberapa pihak termasuk Persatuan Doktor Islam Malaysia dan IMedik Malaysia menyarankan langkah itu dilaksana bagi melindungi kesihatan kanak-kanak daripada penyakit yang boleh dicegah seperti difteria dan campak

    Ini berikutan kes seorang kanak-kanak dua tahun di Johor yang disahkan tidak pernah menerima suntikan vaksin difteria menunggal dunia minggu lalu akibat penyakit itu.

    Lima lagi kanak-kanak yang dilaporkan pernah berada dan berhubung terus dengan mangsa juga disahkan positif penyakit difteria.

     


    Sumber: AstroAwani


     

    The post Malaysia Akan Bina Kilang Vaksin appeared first on SME Niaga.

    Comments Off on Malaysia Akan Bina Kilang Vaksin
  • news

    Tealive Akan Ke Jepun

    LOOB Holding Sdn Bhd (Loob Holding), pengasas jenama minuman teh gaya hidup, Tealive tidak menolak kemungkinan untuk menembusi pasaran Jepun pada hujung tahun ini.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo berkata, pihaknya sentiasa meninjau pasaran berpotensi untuk diteroka bagi memperluas kehadiran Tealive di peringkat global.

    Beliau berkata, ketika ini pihaknya dalam peringkat perbincangan bersama beberapa pihak sebelum keputusan untuk membuka cawangan Tealive itu dimuktamadkan sepenuhnya.

    “Kami mahu menjadikan Tealive sebagai jenama global dan untuk itu syarikat akan lebih berhati-hati memilih rakan kongsi bagi melaksanakan perniagaan ini.

    “Buat masa ini, syarikat ada berjumpa dan berbincang dengan beberapa syarikat tempatan dan kami berharap ia dapat dimuktamadkan pada suku terakhir tahun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis kerjasama Tealive dan Giftee Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

    Kerjasama itu akan menyaksikan Giftee menawarkan perkhidmatan hadiah elektronik (e-hadiah) di lebih 200 cawangan Tealive di seluruh negara.

    Giftee Malaysia setakat ini menyediakan perkhidmatan e-hadiah kepada rakan kerjasama sedia adanya, iaitu Sushi King dan Tealive.

     


    Sumber: Harian Metro


     

    The post Tealive Akan Ke Jepun appeared first on SME Niaga.

    Comments Off on Tealive Akan Ke Jepun
  • news

    3 Cara Mempelbagaikan Rangkaian Anda

    Sebagai usahawan, aktiviti pemasaran tidak hanya dilakukan secara konvensional, seperti mengiklankan di media aliran perdana, medium internet atau media sosial. Ia juga boleh dilakukan secara menjalinkan rangkaian dengan pelbagai pihak yang dirasakan perlu dalam mengetengahkan perniagaan kita secara tidak langsung untuk jangka masa yang lama.

    Bagaimana hendak mempelbagaikan rangkaian anda? Berikut adalah tiga cara yang anda boleh lakukan.

    #1 – Menyertai Rangkaian Komuniti

    Cari orang lain yang terlibat dengan kumpulan komuniti yang anda tidak terbabit. Jangan jadikan aktiviti ini sebagai alasan utama anda untuk bertemu dengan seseorang. Hanya jadikan ia sebagai permulaan yang baik untuk bertemu dengan orang yang tidak berada dalam lingkungan rangkaian anda.

    #2 – Menyertai Rangkain Aktiviti Sukarela

    Perbanyakan aktiviti sukarela dan sertai sebagai sukarelawan. Cari satu aktiviti yang anda suka lakukan dan lihat bagaimana anda boleh menyertainya. Sebagai sukarelawan bukan sahaja mempelbagaikan rangkaian anda, tetapi dapat memberi manfaat kepada komuniti anda.

    #3 – Terlibat dalam Pengurusan Organisasi

    Menyertai pengurusan organisasi tempatan mungkin tidak boleh diakses sebagai sukarela, tetapi belajar apa yang diperlukan untuk terlibat dalam pengurusan dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk dilakukan.
     


    Fetured Image: Designed by jcomp / Freepik


     

    The post 3 Cara Mempelbagaikan Rangkaian Anda appeared first on SME Niaga.

    Comments Off on 3 Cara Mempelbagaikan Rangkaian Anda
  • news

    Guna Dron Hantar Pos Barang

    Guna dron secara komersil lima tahun lagi

    Penggunaan dron secara komersil dalam industri pos dan kurier mampu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

    Beliau berkata, teknologi dron mempunyai kelebihan dalam beberapa bidang seperti kesihatan, pertanian dan perubatan malah, boleh membantu membawa bekalan makanan kepada mereka yang terperangkap dalam banjir.

    Katanya, penggunaan inovasi ‘Unmanned Aerial Vehicle’ (UAV) dron sedang giat dilaksanakan di pelbagai negara seperti Switzerland, yang mana Swiss Post telah menggunakan dron secara komersil bagi menghantar sampel atau spesimen makmal di antara klinik dan hospital sejak 2018.

    “Malaysia sudah pasti tidak mahu ketinggalan dalam arus permodenan itu, dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyuarakan pendapat bahawa negara kita mesti meneroka teknologi baharu seperti dron dan kepintaran buatan” katanya kepada pemberita selepas menutup Pertandingan Parcel Drone 2019 di Kompleks Sukan Air Putrajaya, hari ini.

    Gobind berkata, contoh kegunaan dron di negara ini ialah untuk menghantar bekalan ubat-ubatan ke kawasan terpencil dan luar bandar pada masa kecemasan, atau melihat jenis pokok serta membawa baja bagi kawasan luas dalam industri pertanian.

    Pertandingan Parcel Dron yang dianjurkan oleh Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), itu berlangsung selama dua hari bermula semalam, membabitkan 40 peserta termasuk daripada beberapa institusi pengajian tinggi.

    Peserta diberi dua kesempatan bagi menerbangkan dron dengan muatan seberat dua kilogram dan mereka perlu menerbangkan bungkusan sejauh dua kilometer merentasi Tasik Putrajaya dan kembali semula ke tapak pelancaran dalam masa terpantas.


    Sumber: BERNAMA


     

    The post Guna Dron Hantar Pos Barang appeared first on SME Niaga.

    Comments Off on Guna Dron Hantar Pos Barang
  • news

    Individu ke 104 paling kaya di dunia

    Robert Kuok ke-104 paling kaya

    Ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Robert Kuok muncul sebagai individu ke-104 paling kaya di dunia, namun kedudukannya turun dari tempat ke-96 tahun lalu.

    Menurut senarai kedudukan tahunan hartawan dunia ke-33 ­Forbes, Kuok kekal menjadi individu paling kaya di negara ini dengan nilai kekayaan bersihnya kini dianggarkan berjumlah AS$12.8 bilion (RM52.32 bilion), susut daripada AS$14.5 bilion (RM59.27 bilion) tahun sebelumnya.

    Forbes berkata, penurunan nilai kekayaan Kuok adalah selari dengan aliran global yang menyaksikan pengurangan ni­lai kekayaan di atas kertas.

    Berdasarkan senarai individu terkaya global itu, sehingga kini terdapat sejumlah 2,153 hartawan di seluruh dunia dan jumlah itu lebih rendah berbanding 2018.

    “Apabila digabungkan, jumlah nilai kekayaan hartawan dalam senarai tahun ini adalah sebanyak AS$8.7 trilion (RM35.56 trilion), susut AS$400 bilion (RM1.635 trilion) dari tahun lalu.

    “Secara keseluruhan, sebanyak 11 peratus atau 247 individu yang tersenarai tahun lalu tidak tersenarai kali ini dan ia adalah jumlah terbesar sejak 2009 yang turut menyaksikan kemuncak krisis kewangan global pada waktu itu” kata Forbes dalam satu kenyataan mengumumkan senarai terbaharu individu paling kaya di dunia.

    Dalam pada itu, Pengasas bersama Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan turut tersenarai sebagai individu kedua paling kaya di Malaysia dengan nilai kekayaan juga berjumlah AS$9.4 bilion (RM38.42 bilion).

    Turut berada dalam senarai adalah Tan Sri Teh Hong Piow (RM27.39 bilion); Tan Sri Ananda Krishnan (RM25.34 bilion); Tan Sri Lee Shin Cheng (RM22.07 bilion), Tan Sri Chen Lip Keong (RM20.44 bilion) dan Tan Sri Lim Kok Thay (RM17.98 bilion).

    Ahli perniagaan bumiputera terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary turut tersenarai sebagai antara 10 individu paling kaya di negara ini, berkongsi kedudukan dengan Tan Sri Koon Poh Keong de­ngan nilai kekayaan sebanyak AS$1.7 bilion atau RM6.94 bi­lion.

    Individu paling kaya di dunia kekal menjadi milik pengasas Amazon, Jeff Bezos dengan nilai kekayaan AS$131 bilion (RM535.46 bilion), me­ninggalkan Bill Gates di tempat kedua dengan nilai kekayaan AS$96.5 bilion (RM394.44 bilion) dan pelabur, Warren Buffet (AS$84.5 bilion atau RM345.39 bilion).

    Sementara itu Pengasas Kylie Cosmetics, Kylie Jenner dinamakan sebagai hartawan paling muda 2019 dengan nilai kekayaan dianggarkan berjumlah AS$1 bilion (RM4.09 bi­lion).

     


    Sumber: Utusan Online


     

    The post Individu ke 104 paling kaya di dunia appeared first on SME Niaga.

    Comments Off on Individu ke 104 paling kaya di dunia
  • news

    Daftar Syarikat Enterprise

    Syarikat Enterprise adalah sebuah perniagaan yang didaftarkan dibawah Akta Perniagaan. Ia bukanlah syarikat, tetapi lebih kepada lesen perniagaan. Berikut adalah panduan pendaftaran perniagaan baru seperti yang digariskan oleh Suruhan Syarikat Malaysia.

    Pendaftaran Perniagaan Baru

    Perniagaan meliputi tiap-tiap bentuk tred, perdagangan, pertukangan, pekerjaan, profesion atau aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan bagi maksud-maksud mendapat keuntungan, tetapi tidak meliputi apa-apa jawatan atau penggajian atau apa-apa pengusahaan amal atau apa-apa kerja yang dinyatakan dalam jadual di bawah peruntukan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (APP 1956).

    Perniagaan yang boleh didaftarkan di bawah APP 1956 hanya perniagaan beroperasi di Malaysia Barat. Iaitu meliputi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan.
    Bentuk perniagaan adalah seperti berikut:

    #1 – Perniagaan Milik Tunggal

    Perniagaan dimiliki sepenuhnya oleh seorang pemilik.

    #2 – Perniagaan Perkongsian

    Perniagaan dimiliki oleh sekurangkurangnya dua orang dan tidak melebihi daripada dua puluh rakan kongsi.

    Prosedur Pendaftaran

    #1 – Pendaftaran boleh didaftarkan menggunakan nama sendiri atau nama Tred (perniagaan).

    Nama sendiri menggunakan nama seperti di dalam kad pengenalan tidak perlu memohon kelulusan nama perniagaan. Contoh: Ruslan bin Mohamed, Siow Ah Thai, Ramasamy a/l Mutusamy.

    Nama Tred ialah nama perniagaan yang dicadangkan dan perlu mendapat kelulusan daripada Pendaftar Perniagaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terlebih dahulu. Contoh: Kedai Dobi Mewah, Lucky Star Catering, ABS Unggul Enterprise.

    #2 – Lengkapkan Borang Pendaftaran Perniagaan Baru (Borang A) dengan mengisi maklumat seperti berikut:

    • Nama perniagaan
    • Tarikh permulaan perniagaan
    • Alamat utama perniagaan
    • Alamat cawangan perniagaan (jika ada)
    • Maklumat pemilik dan rakan kongsi
    • Jenis perniagaan yang akan dijalankan
    • Kemukakan salinan perjanjian perkongsian (jika ada)

    #3 – Pemilik dan rakan kongsi hendaklah menandatangani di ruangan maklumat pemilik dan di ruangan pengesahan oleh pemilik tunggal/rakan kongsi.

    #4 – Pemilik / semua rakan kongsi perlu hadir untuk urusan pendaftaran.

    #5 – Dokumen yang perlu dilampirkan:

    • Surat Kebenaran atau Surat Sokongan bagi jenis perniagaan Taska (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Tadika, Pusat Tuisyen, Sekolah/Kolej Pendidikan (Kementerian/Jabatan Pendidikan)
    • Surat kebenaran atau sokongan daripada agensi berkaitan sekiranya diperlukan oleh Pendaftar Perniagaan

    Syarat Yang Dikenakan

    1. Pemilik mestilah Warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap
    2. Pemilik mestilah berumur 18 tahun ke atas
    3. Pemilik/rakan kongsi sahaja dibenarkan untuk membuat permohonan

    Panduan Am

    1. Perniagaan telah dijalankan dan didaftarkan tidak lewat dari 30 hari dari tarikh permulaan perniagaan.
    2. Pendaftaran baru perniagaan boleh dibuat bagi jangkamasa satu (1) tahun dan tidak melebihi lima (5) tahun pada setiap pendaftaran.
    3. Jenis perniagaan yang didaftarkan tidak menyalahi undang-undang, tidak bersesuaian dengan keselamatan persekutuan, ketenteraman awam atau prinsip moral.
    4. Perakuan Pendaftaran Perniagaan boleh diperolehi dalam masa satu (1) jam dari waktu pembayaran dibuat.
    5. Seseorang yang menjalankan perniagaan tanpa mendaftarkan perniagaan adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta Pendaftaran perniagaan 1956 dan jika disabit kesalahan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya.
    6. Pemilik perniagaan bertanggungjawab untuk mendapat lesen, permit atau surat kebenaran sewajarnya daripada pihak berkuasa yang berkaitan bagi jenis/aktiviti perniagaan yang dijalankan walaupun pendaftaran perniagaan tersebut telah didaftarkan di SSM.

    Kos Pendaftaran

    Kos pendaftaran terkini boleh dirujuk kepada Pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang terdekat, atau rujuk disini Fi Pendaftaran Perniagaan dan Syarikat

    Rujukan Lain

    Anda boleh layari pautan dibawah untuk mendapatpan maklumat yang terkini

    Registration Of Business (ROB)

     


    Sumber: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

    Fetured Image: pixabay.com

    The post Daftar Syarikat Enterprise appeared first on SME Niaga.

    Comments Off on Daftar Syarikat Enterprise
  • news

    Rumah Lelong Jadi Pilihan

    Rumah melalui lelongan awam dijangka terus menjadi trend pembeli hartanah pada tahun ini.

    Pelabur Hartanah dan Perancang Kewangan Bertauliah, Dr Badrul Yusoff berkata, permintaan terhadap rumah lelong terus meningkat setiap tahun.

    Katanya, mengikut statistik, terdapat lebih kurang 3,000 unit hartanah dilelong setiap bulan di negara ini.

    “Melalui pemerhatian saya, rumah lelong di sekitar Lembah Klang menjadi tumpuan khususnya yang berdekatan institusi pengajian, LRT, MRT dan kemudahan lain.

    “Malah, proses transaksi yang lebih singkat berbanding rumah sekunder menjadikan rumah lelong pilihan pembeli hartanah,” katanya kepada media pada siri pertama pameran MyRumah NSTP di Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau adalah antara penceramah hartanah yang turut berkongsi ilmu bertajuk ‘Lelong atau Subsale? Apa Pilihan Anda’ sempena Pameran Hartanah MyRumah 2019 yang berlangsung dari 7 hingga 10 Mac ini bertempat di Pusat Beli-Belah MyTown Cheras.

    Badrul berkata, lokasi masih menjadi faktor utama untuk membeli hartanah sama ada sekunder atau lelong.

    Bagaimanapun katanya, pembeli perlu menilai kemampuan kewangan mereka terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada ingin memiliki rumah lelong atau sekunder.

    “Ini kerana pembeli perlu menyediakan 10 peratus deposit daripada harga rumah terbabit” katanya.

     


    Sumber: MyMetro


     

    The post Rumah Lelong Jadi Pilihan appeared first on SME Niaga.

    Comments Off on Rumah Lelong Jadi Pilihan
  • news

    Amalan Pengurusan Fail Yang Perlu Dilakukan

    Pengurusan fail adalah  sangat penting untuk memastikan setiap dokumen perniagaan anda dalam keadaan selamat, boleh diakses dan tersedia ketika hendak digunakan. Amalan pengurusan ini akan membantu anda dalam menjalankan perniagaan dengan cara yang betul dan teratur.

    Amalan Pengurusan Fail Setiap Perniagaan kecil Perlu Lakukan

    Setiap perniagaan kecil tidak boleh mengelak dari membuat dokumen jualan, perbelanjaan, kertas kerja dan pengurusan fail. Menyimpan dokumen penting sama ada untuk operasi dalaman, rujukan pelanggan atau untuk pematuhan kerajaan, hanyalah sebahagian daripada proses menjalankan perniagaan.

    Dahulu, tanpa mengira industri. Kabinet fail adalah item yang perlu ada disetiap pejabat. Kini, teknologi telah berkembang dan begitu juga dengan kaedah pengurusan dokumen. Pengurusan dokumen mungkin kelihatan mudah, namun ianya lebih  dari itu.

    Arkib Digital

    Memahami bagaimana untuk membina dan mengekalkan arkib digital adalah sangat penting bagi memastikan dokumen anda selamat, boleh diakses dan mampu menampung keperluan perniagaan anda dikemudian hari.

    Pengurusan dokumen umumnya boleh dipecah kepada tiga kategori:

    1. Digitalisasi
    2. Pengurusan
    3. Kolaborasi

    Setiap satu kategori mewakili elemen penting dalam proses mencipta arkib penyimpanan fail yang penting, serta membantu memperkemas operasi perniagaan anda. Setiap kategori ini perlu diambil serius oleh usahawan.

    Bagi melakukannya buat pertama kali. Penerangan dibawah ini boleh membantu memastikan anda melakukannya dengan betul.

    #1 –  Digitalisasi

    Langkah pertama dalam mewujudkan arkib digital ialah dengan mengimbas dokumen atau mengimport rekod sedia ada ke dalam sebuah sistem berpusat seperti Sistem Pengurusan Dokumen.

    Sistem Pengurusan Dokumen telah direka untuk menjadikan proses digitalisasi lebih mudah. Anda boleh menambah dan menguruskan arkib digital dengan rekod yang lengkap yang mampu memenuhi keperluan perniagaan anda.

    Rekod boleh diimbas ketika diterima atau sedang diproses. Ia juga boleh dilakukan secara pukal mengikut jadual yang ditetapkan.

    – Pengimejan Dokumen

    Digitalisasi rekod fizikal bermula dengan proses yang dikenali sebagai pengimejan dokumen. Pengimejan biasanya melibatkan pengimbasan dokumen ke dalam perisian Sistem Pengurusan Dokumen.

    Kebanyakan Sistem Pengurusan Dokumen menggunakan apa yang dikenali sebagai Pengecaman Aksara Optik atau dalam bahasa Inggeris Optical Character Recognition (OCR) untuk mengenal pasti dan mengindeks dokumen secara automatik berdasarkan teks yang diimbas.

    Aplikasi OCR hari ini sangat canggih dan dapat mengesan teks bercetak dan bertulis tangan dengan tepat dalam peratusan yang tinggi. Kadar ketepatan setiap aplikasi bergantung pada kualiti dokumen yang dimasukkan ke dalam sistem. Sekiranya terdapat kotoran, atau imej yang kabur pada kertas, aplikasi mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk mengimbas maklumat tersebut.

    Walaupun kebanyakan proses digitalisasi dapat diautomasikan dengan cara ini, memastikan ketepatan adalah sangat penting. Oleh itu, untuk mendigitalisasikan arkib anda, langkah seterusnya ialah dengan mewujudkan sistem kawalan kualiti.

    – Kawalan kualiti

    Untuk memastikan dokumen anda direkodkan dengan betul, kebanyakkan Sistem Pengurusan Dokumen membolehkan anda menetapkan “kadar keyakinan tersuai” yang bermaksud, perisian hanya akan menerima fail yang memenuhi  kriteria dalam linkungan kadar tersebut.

    Sebagai contoh, jika perisian percaya ia telah merekodkan dokumen sebanyak 90 peratus dengan tepat, tetapi kadar keyakinan tersuai adalah 95 peratus, dokumen tersebut tidak akan diterima tanpa kelulusan dan proses perlu dilakukan semula secara manual.

    Semua rekod yang didigitalisasikan mestilah dikaji dalam kawalan kualiti untuk ketepatan, integriti dan kesempurnaan. Ini boleh dilakukan sama ada ketika proses imbasan atau selepas dengan menyemak imej.

    Juga perlu dipastikan tiada dawai kokot, klip kertas atau halangan lain dari kertas sebelum mengimbasnya ke dalam sistem.

    #2 – Pengurusan

    Sebaik sahaja anda telah mendigitalisasikan dokumen dan mengimport fail digital yang anda perlukan. Anda mesti menyusun untuk mendapatkannya semula dengan mudah. Arkib digital anda hanya berguna jika ia mudah dicapai. Sama seperti anda tidak mahu mencari dokumen dalam almari yang banyak.

    Kebanyakan perisian Sistem Pengurusan Dokumen telah melakukannya untuk anda ketika proses mengimbas. Perisian akan mengenal pasti kata kunci dan elemen tertentu dalam dokumen. Dengan menambah set data, ia akan mengindeks dokumen anda secara automatik.

    Walau bagaimanapun, untuk lebih teratur dan tepat, adalah lebih bijak untuk membezakan dokumen antara satu sama lain dengan menambah lebih banyak butiran dan set data secara manual.

    – Storan

    Anda mempunyai dua pilihan untuk menyimpan dokumen:

    1. Pelayan di premis
    2. Pelayan berasaskan awan (cloud)

    Pelayan di premis memerlukan pelaburan awal dan sumber pengetahuan IT yang tinggi untuk kerja penyelenggaraan yang berterusan. Tetapi, ia memberi anda lebih banyak kawalan ke atas dokumen dan pemantauan keselamatan.

    Pelayan berasaskan awan pula, mampu mengurangkan beban penyelenggaraan dan kosnya lebih murah. Tetapi, anda perlu memberi kepercayaan kepada pihak ketiga dalam menguruskan data anda, dan ia berpotensi mencipta risiko tambahan.

    Kedua-dua pilihan adalah sesuai. Tetapi, penyedia pelayan berasaskan awan akan menyediakan fungsi sandaran (backup) diluar talian secara automatik. Fungsi ini menjadi faktor pilihan bagi kebanyakan syarikat. Kebanyakan peyedia pelayan awan diakui selamat dan sangat cekap.

    Adalah penting untuk melakukan penyelidikan tentang penyedia simpanan awan dan memastikan ia memenuhi standard keselamatan anda. Adalah bijak untuk mengekalkan sandaran pemulihan anda sendiri untuk semua rekod dan sistem.

    Proses sandaran ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara. Seperti mempunyai pengimbas untuk mengimbas dan merekod arkib, menyimpan fail-fail penting di pelbagai lokasi, dan mewujudkan dasar dan amalan untuk mengimbas dokumen dan memastikan ia selamat sebagai amalan biasa.

    – Keselamatan

    Tahap keselamatan adalah sangat kritikal berbanding pemilihan storan. Arkib anda akan mengandungi semua dokumen perniagaan, termasuk yang paling sensitif. Oleh kerana terdapat insiden kekerapan kebocoran maklumat, ia harus menjadi keutamaan bagi memastikan arkib anda dalam keadaan selamat.

    Apabila memilih aplikasi perisian, anda juga perlu menggunakan firewall yang boleh dikonfigurasi, menggunakan pelayan pengesahan akses dan menggunakan teknologi SSL. Anda juga harus mencari sistem yang menyediakan rekod yang komprehensif dan tidak boleh diubah setiap kali dokumen diakses.

    Di samping itu, kebanyakan Sistem Pengurusan Dokumen dilengkapi dengan kawalan akses pengguna. Membolehkan pentadbir menentukan pengguna mana yang boleh mengakses, atau melihat fail tertentu yang disimpan dalam arkib. Ini membantu mengurangkan risiko keselamatan keatas maklumat sulit.

    Adalah penting untuk menetapkan kawalan akses pengguna, terutamanya apabila beberapa jabatan menggunakan Sistem Pengurusan Dokumen yang sama. Ini bagi memastikan data kewangan kekal dalam perakaunan, maklumat pekerja yang sensitif hanya boleh dilihat oleh pegawai sumber manusia dan sebagainya.

    – Pengekalan

    Memahami berapa lama anda harus mengekalkan dokumen tertentu membantu meningkatkan keselamatan dan membebaskan ruang storan. Sesetengah dokumen tidak perlu disimpan selama-lamanya, sementara yang lain cukup penting untuk dikekalkan.

    Kebanyakan dokumen tidak boleh disimpan selamanya. Sebagai contoh, kebanyakkan organisasi kewangan mensarankan untuk menyimpan rekod kewangan selama tujuh tahun. Tetapi, apabila ia berkaitan dengan dokumen tertentu perniagaan, seperti kontrak pembekal dan rekod pesanan pelanggan, adalah menjadi kebiasaan untuk menyimpannya dengan lebih lama.

    #3 – Kolaborasi

    Akhir sekali, apabila arkib anda telah didigitalisasikan sepenuhnya dan bersedia untuk diakses. Pasukan anda perlu menyemak semula dokumen dengan cepat, tanpa membuat suntingan yang bercanggah. Sistem Pengurusan Dokumen terbaik mempunyai fungsi terbina bagi membantu pasukan berkolaborasi.

    Sistem yang baik akan menjejaki versi semua kandungan, membolehkannya diakses serentak ke atas dokumen yang sama, dan memudahkan bekerjasama. Bagi aplikasi yang lebih kompleks, aliran kerja dapat menambah struktur dan ketepatan proses yang ditentukan melalui kelulusan, tandatangan, senarai semak dan peringatan.

     


    Fetured Image: Designed by Freepik


     

    The post Amalan Pengurusan Fail Yang Perlu Dilakukan appeared first on SME Niaga.

    Comments Off on Amalan Pengurusan Fail Yang Perlu Dilakukan
  • news

    Kaji Lokasi Sebelum Beli Kediaman

    Kuala Lumpur: Lokasi strategik masih lagi menjadi faktor utama dan memainkan peranan penting sebelum memiliki hartanah.

    Pengasas Hartanahguru.com, Abdul Aziz Ahmad berkata, namun faktor itu bukan penentu semuanya.

    Katanya, pembeli juga harus mengambil kira faktor harga beli dan sewa sekiranya mereka membeli bagi tujuan pelaburan.

    “Pemilihan lokasi sangat penting kerana ia akan menentukan sama ada hartanah itu boleh mempunyai permintaan yang tinggi dan disewakan atau dijual pada harga tinggi.

    “Lokasi strategik atau ‘panas’ adalah yang berdekatan stesen LRT dan MRT dan juga lebuh raya yang sedang dalam pembinaan.

    “Tetapi, sebelum memuktamadkan keputusan pembelian sesuatu hartanah, bakal pembeli tidak seharusnya bergantung kepada satu faktor saja” katanya kepada Bisnes Metro.

    Menurutnya, di sepanjang laluan MRT dan LRT akan dipenuhi dengan pelaksanaan projek pembangunan hartanah.

    Abdul Aziz berkata, lokasi kawasan yang sedang membangun seperti perbandaran baharu juga menjadi antara lokasi ‘panas’ yang perlu diambil kira.

    Katanya, bagi mereka yang ingin memiliki kediaman untuk tinggal sendiri, adalah lebih baik menyemak dahulu kelayakan pinjaman dengan pihak bank.

    “Sebelum sibuk memilih lokasi mencari rumah, pastikan anda layak membuat pinjaman dan mampu menyediakan duit deposit,” katanya.

     


    Sumber: MyMetro


     

    The post Kaji Lokasi Sebelum Beli Kediaman appeared first on SME Niaga.

    Comments Off on Kaji Lokasi Sebelum Beli Kediaman
  • news

    Gaji di Singapura tidak dikenakan cukai

    Pendapatan dari Singapura tidak dikenakan cukai

    Pendapatan yang boleh dikenakan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP) adalah pendapatan berpunca daripada Malaysia seperti punca perniagaan atau penggajian.

    Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pendapatan yang diterima dari Singapura yang berpunca daripada penggajian dilakukan di negara tersebut, tidak dikenakan cukai di negara ini.

    Beliau malah memberitahu, punca pendapatan tersebut bukan berpunca daripada penggajian yang dilakukan di negara ini.

    Menurutnya, bagi individu yang menetap di Malaysia melebihi tempoh 183 hari, individu tersebut dianggap mempunyai status pemastautin bagi maksud percukaian di Malaysia di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

    “Walau bagaimanapun, sekiranya individu ini tidak menerima apa-apa pendapatan berpunca dari Malaysia dan hanya menerima pendapatan penggajian dari Singapura, maka individu tersebut masih lagi tidak dikenakan cukai di negara ini.

    “Status permastautin seseorang individu di Malaysia tidak akan menyebabkan semua pendapatan yang diterima itu secara automatik tertakluk kepada undang undang percukaian di Malaysia” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut beliau selain itu, sebarang punca pendapatan daripada luar negara yang dibawa masuk ke Malaysia juga adalah dikecualikan cukai di bawah Perenggan 28,Jadual 6, ACP 1967.

    Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa cina hari ini yang menimbulkan kekeliruan berhubung pendapatan diterima dari Singapura dan asas penentuan status pemastautin bagi maksud pengenaan cukai pendapatan.

     


    Sumber: Utusan Online


     

    The post Gaji di Singapura tidak dikenakan cukai appeared first on SME Niaga.

    Comments Off on Gaji di Singapura tidak dikenakan cukai