Kuala Lumpur: Lokasi strategik masih lagi menjadi faktor utama dan memainkan peranan penting sebelum memiliki hartanah.
Pengasas Hartanahguru.com, Abdul Aziz Ahmad berkata, namun faktor itu bukan penentu semuanya.
Katanya, pembeli juga harus mengambil kira faktor harga beli dan sewa sekiranya mereka membeli bagi tujuan pelaburan.
“Pemilihan lokasi sangat penting kerana ia akan menentukan sama ada hartanah itu boleh mempunyai permintaan yang tinggi dan disewakan atau dijual pada harga tinggi.
“Lokasi strategik atau ‘panas’ adalah yang berdekatan stesen LRT dan MRT dan juga lebuh raya yang sedang dalam pembinaan.
“Tetapi, sebelum memuktamadkan keputusan pembelian sesuatu hartanah, bakal pembeli tidak seharusnya bergantung kepada satu faktor saja” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, di sepanjang laluan MRT dan LRT akan dipenuhi dengan pelaksanaan projek pembangunan hartanah.
Abdul Aziz berkata, lokasi kawasan yang sedang membangun seperti perbandaran baharu juga menjadi antara lokasi ‘panas’ yang perlu diambil kira.
Katanya, bagi mereka yang ingin memiliki kediaman untuk tinggal sendiri, adalah lebih baik menyemak dahulu kelayakan pinjaman dengan pihak bank.
“Sebelum sibuk memilih lokasi mencari rumah, pastikan anda layak membuat pinjaman dan mampu menyediakan duit deposit,” katanya.
Sumber: MyMetro
The post Kaji Lokasi Sebelum Beli Kediaman appeared first on SME Niaga.