Rumah Lelong Jadi Pilihan

Rumah melalui lelongan awam dijangka terus menjadi trend pembeli hartanah pada tahun ini.

Pelabur Hartanah dan Perancang Kewangan Bertauliah, Dr Badrul Yusoff berkata, permintaan terhadap rumah lelong terus meningkat setiap tahun.

Katanya, mengikut statistik, terdapat lebih kurang 3,000 unit hartanah dilelong setiap bulan di negara ini.

“Melalui pemerhatian saya, rumah lelong di sekitar Lembah Klang menjadi tumpuan khususnya yang berdekatan institusi pengajian, LRT, MRT dan kemudahan lain.

“Malah, proses transaksi yang lebih singkat berbanding rumah sekunder menjadikan rumah lelong pilihan pembeli hartanah,” katanya kepada media pada siri pertama pameran MyRumah NSTP di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau adalah antara penceramah hartanah yang turut berkongsi ilmu bertajuk ‘Lelong atau Subsale? Apa Pilihan Anda’ sempena Pameran Hartanah MyRumah 2019 yang berlangsung dari 7 hingga 10 Mac ini bertempat di Pusat Beli-Belah MyTown Cheras.

Badrul berkata, lokasi masih menjadi faktor utama untuk membeli hartanah sama ada sekunder atau lelong.

Bagaimanapun katanya, pembeli perlu menilai kemampuan kewangan mereka terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada ingin memiliki rumah lelong atau sekunder.

“Ini kerana pembeli perlu menyediakan 10 peratus deposit daripada harga rumah terbabit” katanya.

 


Sumber: MyMetro


 

The post Rumah Lelong Jadi Pilihan appeared first on SME Niaga.


Posted

in

by