• news

    Antara Jualan dan Pemasaran

    Ramai peniaga tidak dapat membezakan antara jualan dan pemasaran. Ada yang menganggap kedua-duanya adalah perkara sama. Kali ini, dikongsikan apakah kaitan dan perbezaan antara jualan dan pemasaran.

    Ia adalah dua perkara yang berkait rapat dan bertujuan meningkatkan pendapatan perniagaan. Oleh itu, ia sukar untuk merealisasikan perbezaan di antara kedua-duanya. Dalam perniagaan yang kecil, kita tidak dapat menemui banyak perbezaan antara jualan dan pemasaran.

    Tetapi bagi perniagaan yang lebih besar, perbezaannya jelas dan kita perlu mempunyai kepakaran khusus untuk mengendalikan secara fokus dan terperinci.

    Jadi bagaimanakah jualan dan pemasaran itu berbeza? Dalam perkataan yang mudah, jualan boleh disebut sebagai proses pengkhususan dan menyasarkan individu atau kumpulan kecil. Sebaliknya pemasaran pula menyasarkan kumpulan lebih besar.

    Konsep jualan dan pemasaran mempunyai perbezaan yang banyak. Jualan hanya tertumpu kepada penukaran permintaan pengguna yang sesuai dengan produk. Tetapi tujuan pemasaran adalah memenuhi kehendak dan tuntutan pengguna supaya mesej yang hendak disampaikan menepati golongan sasaran.

    Jualan

    Jualan merujuk kepada sasaran jangka pendek bagi penjualan produk atau melakukan apa yang perlu untuk menjual. Teknik jualan dan strategi bergantung kepada apa yang diperlukan agar berlakunya proses jual beli.

    Jika anda mempunyai pelanggan tetapi tidak mampu me­yakinkan mereka untuk membeli produk, anda mempunyai masalah dengan strategi penjualan. Strategi jualan adalah tertumpu pada pembeli individu dan teknik yang perlu dilakukan untuk memastikan mereka mengeluarkan wang atau klik pada butang beli ketika melawati laman web jualan dalam talian.

    Kita sebagai peniaga perlu menetapkan sasaran jumlah jualan bagi tempoh tertentu (minggu, bulan dan suku tahunan) dan mempunyai strategi mencapai sasaran tersebut.

    Kebiasaannya, perlu ada unjuran jualan bagi kempen yang dijalankan dan pencapaian yang diraih. Tetapi jika tiada kempen, perlu berbuat sesuatu supaya berlakunya aktiviti jualan yang konsisten setiap hari.

    Pemasaran

    Pemasaran boleh dianggap sebagai permulaan bagi jualan untuk menawan hati pengguna. Ini menggunakan pelbagai kaedah se­perti penjenamaan dan pengiklanan melalui media cetak (surat khabar, majalah, risalah), media elektronik (radio dan televisyen) atau media sosial (melalui iklan viral Facebook, Instagram) bagi mewujudkan kesedaran tentang produk jualan anda.

    Ia adalah konsep jangka panjang dan berkait dengan strategi memahami keperluan pelanggan, mempengaruhi persepsi pelanggan dan mengenal pasti bagaimana kita dapat memanfaatkannya.

    Hasil daripada proses pemasaran dan strategi yang dilaksanakan dapat membantu menjadikan penjualan lebih mudah. Teknik pemasaran dan strategi adalah berdasarkan kepada ke­perluan mengenal pasti produk jualan yang sesuai, harga produk mampu dibeli dan apa yang perlu disampaikan kepada pelanggan sasaran (melalui iklan) agar penjualan produk berjaya.

    Pemasaran merangkumi pe­nye­lidikan (mengenal pasti ke­perluan pelanggan), pemba­ngunan produk (menghasilkan produk inovatif) dan mempromosikan produk (melalui iklan) serta mewujudkan kesedaran mengenai sesuatu produk dalam kalangan pengguna.

    Apabila produk dikeluarkan dan berada di pasaran, kita perlu menjalankan tugas memujuk pelanggan atau pengguna membeli produk tersebut. Seterusnya, kita harus meyakinkan prospek kepada pembelian dan pesanan produk tersebut.

    Selain itu, pemasaran amat penting untuk jangka masa panjang manakala jualan mempunyai matlamat yang lebih pendek. Pemasaran melibatkan proses yang lebih panjang untuk membina penjenamaan dan mencari pe­langgan membeli walaupun mereka tidak memerlukannya. Berlainan dengan jualan, ia adalah proses jangka pendek dan fokus kepada pengguna sasaran sahaja.

    Cara pemasaran

    Satu daripada aspek utama strategi pemasaran ialah membina identiti jenama bagi memudahkan kita menjual dan perlu menggunakan pendekatan yang berbeza daripada produk lain di pasaran.

    Sebagai contoh, produk Pamoga. Pada ketika itu, masih tiada lagi produk kesihatan tradisional seumpama dengannya. Dr. Vida mula menjual Pamoga melalui kios kecil dan mempromosikan Pamoga melalui slot program Radio di Perak dan Kelantan. Sasaran beliau pada waktu itu, adalah masyarakat setempat yang ber­umur dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun.

    Nama Pamoga mulai terkenal kerana sebutannya mudah. Dengan menggunakan pendekatan berkongsi pengalaman daripada masalah penyakit darah tinggi yang beliau hidapi dan bagaimana menghadapinya.

    Ini menyebabkan para pendengar merasa dekat dan berjaya mengubah prospek sebagai pembeli tetap produk Pamoga. Secara tidak langsung, aktiviti mempromosikan Pamoga berjaya dan mewujudkan permintaan tinggi dalam kalangan pengguna yang mempunyai masalah yang sama.

    Percaya atau tidak, produk Pamoga terjual dengan mudah sehingga kehabisan stok. Ju­alan bulanan pada waktu itu mencecah hingga jutaan ringgit dan berterusan beberapa bulan lamanya.

    Strategi

    Apabila membincangkan me­ngenai Pemasaran vs Jualan, antara perkara penting yang perlu diambil kira pemilik perniagaan adalah mempertimbangkan kedua-dua aspek jualan dan pemasaran secara keseluruhan.

    Dalam sesebuah perniagaan, pemasaran dan jualan harus dikendalikan oleh kumpulan atau individu yang sama kerana kedua-duanya saling berkait dan mempunyai tujuan sama.

    Strategi jualan perlu mempunyai mesej yang sama seperti mesej pemasaran untuk menjadikan ia lebih berkesan dan memaksimumkan peluang untuk menjadikan jualan lebih mudah dan berjaya.

    Kita harus sentiasa fokus dan ambil tahu mengenai kehendak dan keperluan pengguna dari semasa ke semasa bagi memastikan penjualan kita semakin meningkat. Pendek kata, aktiviti jualan dan pemasaran perlu seimbang kerana masing-masing saling memerlukan antara satu sama lain dengan persembahan gaya tersendiri bergantung kepada syarikat atau individu yang menjalankan perniagaan berkenaan.

     


    Disusun semula dari penulisan asal yang ditulis oleh Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman.

    Sumber: Utusan Online

    Fetured Image: Designed by Freepik


    The post Antara Jualan dan Pemasaran appeared first on SME Niaga.

    Comments Off on Antara Jualan dan Pemasaran
  • news

    Apa itu Penjenamaan

    Sebagai seorang individu yang ingin menjadi usahawan yang sedang berusaha untuk memasarkan produk baru, kita perlu tahu dan faham apakah itu Penjenamaan dan mengapa ia amat penting dalam memasarkan sesuatu produk.

    Anda tidak perlu risau jika masih tidak faham mengenai Penjenamaan. Kerana, tidak semua usahawan tahu mengenai Penjenamaan termasuk diri saya sendiri di awal perniagaan.

    Produk dan Jenama

    Untuk memahami konsep Penjenamaan. Pertama sekali kita perlu tahu apakah maksud produk dan jenama. Secara umumnya, produk adalah perkara yang boleh ditawarkan kepada pasaran untuk memenuhi kehendak atau keperluan, termasuk barangan, perkhidmatan, pengalaman, peristiwa, individu, tempat, harta benda, organisasi, maklumat dan idea fizikal.

    Bagi menggambarkan de­finisi dan peranan sesuatu produk dalam menentukan Penjenamaan, kita boleh menggunakan contoh air. Air merupakan sumber bebas yang diperlukan oleh manusia untuk terus hidup. Namun kini ia telah menjadi produk keluaran sesuatu syarikat dan dipasarkan secara komersial dengan hanya menjual air mineral dalam botol kaca atau plastik.

    Seperti yang kita ketahui, air sentiasa kelihatan sama. Ia cair dan jernih. Jadi, bagaimanakah sesuatu syarikat pengeluar menjual produk yang sama tetapi masih mampu meyakinkan orang ramai untuk membeli air botol mereka dan bukannya daripada syarikat lain? Jawapan bagi persoalan ini ialah dengan mencipta jenama.

    Jenama bermaksud nama, istilah, reka bentuk, simbol atau ciri lain. Yang membezakan organisasi atau produk daripada saingannya di mata pelanggan. Jenama biasanya digunakan dalam perniagaan, pemasaran, dan pengiklanan.

    Jenama biasanya adalah idea atau imej yang wujud dalam fikiran anda dan pembeli apabila nama jenama disebut. Sebagai contoh kita membayangkan sesuatu produk, perkhidmatan dan aktiviti tertentu syarikat. Baik secara praktikal, contoh­nya kasut adalah ringan. Dan secara emosi, contohnya kasut ini mampu membuat saya kuat.

    Oleh itu, ia bukan hanya ciri-ciri fizikal yang mencipta jenama. Tetapi juga perasaan pengguna yang berkait rapat dengan syarikat atau produk tersebut. Gabungan isyarat fizikal dan emosi tercetus apabila terdapat hubung kait antara nama, logo, identiti visual atau mesej yang disampaikan.

    Terdapat banyak produk di pasaran yang mempunyai fungsi yang sama, tetapi dengan jenama berbeza. Sebagai contoh, Pepsi dan Coca-Cola mempu­nyai rasa yang lebih kurang sama. Namun atas sebab tertentu. Kebanyakan pengguna rasa lebih dekat dengan jenama Coca-Cola, kerana jenama Coca-Cola lebih terkenal dan dipercayai.

    Apakah Penjenamaan

    Maksud Penjenamaan pu­la adalah pemberian jenama (nama tertentu) kepada sesuatu barangan yang dihasilkan daripada aspek pembungkusan dan sebagainya. Penjenamaan adalah proses memberikan nilai kepada syarikat, produk atau perkhidmatan tertentu dengan mencipta sesuatu imej, baya­ngan atau perasaan dalam minda pengguna.

    Ia adalah strategi yang direka oleh syarikat untuk memboleh­kan pengguna mengenal pasti produk dengan mudah dan membeli produk tersebut tanpa perlu berfikir panjang. Tujuan penjenamaan adalah untuk menarik dan mengekalkan pe­langgan yang sedia ada melalui penyediaan produk yang selari dengan apa yang digambarkan oleh sesuatu jenama.

    Strategi jenama yang berkesan dapat memberikan anda kelebihan utama dalam pasaran yang semakin kompetitif. Tetapi apa sebenarnya maksud Penjenamaan. Secara ringkas, jenama anda adalah janji kepada pelanggan anda.

    Ia mampu menyampaikan mesej kepada pembeli mengenai produk dan perkhidmatan anda dan ia juga mampu membezakan produk atau perkhidmatan daripada pesaing anda. Jenama anda juga adalah menggambarkan siapa anda, apa yang anda lakukan dan apa yang anda akan berikan kepada pengguna atau pun pembeli.

    Asas jenama anda mungkin ada pada logo, laman web, cara pembungkusan dan cara promosi anda. Kesemuanya perlu mengintegrasikan logo dan mampu menyampaikan mesej jenama anda. Strategi jenama anda adalah bagaimana, di mana, bila dan siapa anda merancang untuk berkomunikasi bagi menyampaikan mesej.

    Pengiklanan juga sebahagian daripada strategi jenama anda. Saluran pengedaran anda juga merupakan sebahagian daripada strategi jenama anda. Dan apa yang anda berikan secara visual dan lisan adalah sebahagian daripada strategi jenama anda juga.

    Penjenamaan strategik yang konsisten membawa kepada ekuiti jenama yang kukuh, mampu menaikkan nilai yang dibawa oleh produk atau perkhidmatan syarikat yang membolehkan mengenakan bayaran lebih untuk jenama anda berbanding dengan jenama lain.

    Coke vs soda generik

    Contoh yang paling jelas ialah Coke vs soda generik. Se­perti yang kita lihat Coca-Cola telah membina ekuiti jenama yang kuat, yang mana ia telah mengeluarkan kos pengiklanan yang tinggi bagi menaikkan nama produk mereka. Dengan ini, tanpa ragu-ragu pelanggan mereka akan membayar harga yang lebih tinggi berbanding air soda biasa.

    Nilai tambahan intrinsik kepada ekuiti jenama sering dikaitkan dengan kualiti dan emosi. Sebagai contoh, Nike mengaitkan produknya bersama bintang atlet terkenal, de­ngan harapan pelanggan akan merasai emosi sebenar seorang atlet apabila memakai kasut keluaran mereka.

    Bagi Nike, ia bukan hanya ciri dan kualiti kasut yang mempe­ngaruhi si pemakai tetapi emosi si pemakai juga penting dalam memasarkan setiap produk keluarannya.

     


    Disusun semula dari penulisan asal yang ditulis oleh Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman.

    Sumber: Utusan Online

    Fetured Image: Designed by zaozaa09 / Freepik


     

    The post Apa itu Penjenamaan appeared first on SME Niaga.

    Comments Off on Apa itu Penjenamaan
  • news

    Merealisasikan Penjenamaan

    Sebaik sahaja menentukan jenama, bagaimanakah anda merealisasikan penjenamaan produk?. Penjenamaan boleh diwujudkan dan dibentuk melalui pelbagai cara. Sebagai contoh, ia boleh dicapai melalui:

    • Nama
    • Pengiklanan
    • Reka bentuk produk
    • Cara pembungkusan
    • Pengalaman dalam kedai
    • Harga
    • Penajaan
    • Identiti dalam bentuk visual logo
    • Laman web dan warna.

    Jika dalam bentuk logo. Pastikan logo tersebut menarik dan ringkas agar mudah diingati. Dan perlu dipaparkan dalam pelbagai media pengiklanan, seperti media sosial, elektronik atau cetakan.

    Tagline

    Logo yang mempunyai bentuk unik dan warna terang seperti merah jambu, oren dan kuning biasanya akan lebih menyerlah berbanding warna gelap. Selain itu, anda juga perlu mencipta tagline (slogan) jenama anda. Apakah mesej utama yang anda ingin sampaikan tentang jenama anda?.

    Ini kerana daripada logo dan tagline tersebut pengguna lebih mudah memahami dan mengetahui produk atau perkhidmatan yang anda jual atau sediakan.

    Sebagai contoh, produk Pamoga dan Qu Puteh. Asal nama Pamoga adalah singkatan daripada perkataan bahasa Inggeris iaitu pamogranate yang bermaksud buah delima (di dalam bahasa Melayu) memandangkan kan­dungan utama produk tersebut adalah ekstrak buah delima.

    Bagi memudahkan pembeli terutama warga emas untuk menyebut dan mengingati­nya, diringkaskan perkataan pamogranate kepada Pamoga.

    Pembungkusan

    Dari segi pembungkusan pula, botol kaca khas dan kotak yang cantik digunakan agar nampak esklusif dan menonjol berbanding produk kesihatan lain di pasaran.

    Berbeza Qu Puteh, ia menggunakan warna merah jambu terang dan tagline ‘Qu Puteh, Qu Puteh, Barulah Putih’ bagi memudahkan pengguna mengenal dan mengingati produk tersebut walaupun masih baru di pasaran ketika itu.

    Selain itu, tagline produk Qu Puteh mampu memberi gambaran tujuan produk tersebut di mana ia boleh mencerahkan kulit si pemakai.

    Ditambah pula dengan cara pengiklanan yang berkesan secara besar-besaran di televisyen dan radio, jenama Qu Puteh meningkat naik dengan mudah dalam waktu singkat.

    Penjenamaan diri

    Kini syarikat tidak lagi menjadi satu-satunya entiti yang digunakan sebagai penjenamaan sesuatu produk atau perkhidmatan.

    Penjenamaan diri atau penjenamaan peribadi, adalah satu bentuk pemasaran yang digunakan individu untuk mencipta imej awam yang mampu memaparkan nilai dan reputasi keseluruhannya. Bentuk penjenamaan ini merupakan trend yang berkembang dalam ka­langan selebriti dan strategi pemasaran yang berjaya.

    Penjenamaan diri adalah cara yang baik untuk mempromosikan nama bersama dengan pelbagai produk dan perkhidmatan. Apabila selebriti mempunyai perniagaannya sendiri, secara tidak langsung ia diiktiraf oleh orang ramai kerana nama dan kredibilitinya.

    Apabila jenama tersebut dibuat terlebih dahulu melalui kempen yang berjaya, produk yang dikeluarkan oleh se­lebriti ini lebih cenderung berjaya di pasaran berbanding jenama lain.

    Pengguna biasanya akan mengaitkan produk ini dengan selebriti kegemaran mereka dan mendorong mereka membeli produk tersebut dengan kerap tanpa ragu-ragu atas dasar minat dan percaya pada selebriti kegemaran mereka.

    Media sosial

    Penjenamaan diri yang mudah adalah melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram kerana ia membolehkan anda berkongsi aktiviti harian dan produk jualan syarikat.

    Bagi meningkatkan jumlah pengikut, anda perlulah rajin berkomunikasi dengan pe­ngikut supaya mereka dapat mengenali anda dengan lebih rapat dan dalam masa sama dapat membentuk rasa percaya mereka kepada anda.

    Sebagai contoh, ketika ini, sebagai seorang selebriti, Dr Vida mempunyai tiga juta pengikut di Instagram, @datoserivida dan akaun Facebook, Sayang-sayang DSV. Setiap kali video atau gambar di muat naik, ia akan memperolehi jumlah Like sehingga puluhan ribu bagi hantaran tersebut.

    Oleh itu, promosi dan mengiklanan produk mudah dilakukan tanpa mengeluarkan sebarang kos pengiklanan.

    Imej produk

    Dalam kata mudah. Produk adalah apa yang anda jual. Sebuah jenama adalah imej daripada produk yang anda jual dan penjenamaan adalah strategi mencipta imej itu.

    Produk, jenama dan penjenamaan adalah antara perkara penting dalam menaikkan syarikat dan mememasarkan produk jualan kerana ia berkait antara satu sama lain.

    Walaupun kita mampu mengeluarkan produk yang bagus dan berkesan, tanpa penjenamaan produk tersebut belum tentu lagi mampu terjual dan dipasarkan. Semoga perkongsian saya pada minggu ini, sedikit sebanyak dapat membantu perniagaan anda.

     


    Disusun semula dari penulisan asal yang ditulis oleh Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman.

    Sumber: Utusan Online

    Fetured Image: Designed by Waewkidja / Freepik


     

    The post Merealisasikan Penjenamaan appeared first on SME Niaga.

    Comments Off on Merealisasikan Penjenamaan
  • news

    Modal atau berniaga dahulu?

    Memandangkan ekonomi negara semakin kurang memuaskan dan perbelanjaan harian kian membebankan, ramai rakyat Malaysia mengambil inisiatif untuk memulakan perniagaan sendiri. Ramai yang menjadikan wang sebagai alasan yang salah untuk memulakan perniagaan.

    Ramai beranggapan setiap perniagaan hanya boleh dimulakan dengan adanya wang yang banyak bagi mendapatkan keuntungan yang besar tanpa risiko yang tinggi. Atau bolehkah kita berniaga tanpa modal dan de­ngan modal yang kecil bagi menjana keuntungan yang tinggi dan lebih selamat?.

    Berbekalkan pengalaman perniagaan yang terbuku di dada yang telah saya kutip ketika saya masih berumur sembilan tahun, sehingga kini. Berikut adalah petua yang saya hendak kongsikan dengan pembaca Utusan Malaysia. Terdapat pelbagai cara bagi memulakan perniagaan yang boleh dilakukan tanpa modal dan tanpa menanggung kerugian yang banyak.

    Mula berniaga tanpa modal

    Pada masa kini, kemudahan untuk menjalankan perniagaan adalah jauh lebih mudah. Pengiklanan pula boleh dilakukan hanya dengan bajet yang minimum. Anda boleh mulakan berniaga sebagai ejen Dropship untuk mengukur sejauh mana kemampuan pemasaran bagi sesuatu produk sebelum anda menghasilkan produk sendiri.

    Sebagai ejen dropship, anda hanya perlu memasarkan se­suatu produk yang disimpan oleh pembekal atau pengilang. Setelah pembekal menerima bayaran, ejen dropship akan memaklumkan kepada pembekal.

    Seterusnya, setiap penghantaran produk kepada pembeli akan dikendalikan dan ditanggung oleh pihak pembekal. Ejen dropship kemudian akan dibayar oleh pembekal di atas keuntu­ngan dalam bentuk komisen ataupun ejen dropship hanya perlu membayar harga kos produk kepada pembekal de­ngan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran. Dengan sistem dropship ini, anda dapat mengaut keuntungan dengan lebih mudah tanpa mengeluarkan apa-apa modal.

    Syarikat saya sendiri turut mengaplikasikan sistem ejen Dropship bagi menggalakkan perniagaan dalam kalangan pengguna Vida Beauty, se­perti penuntut universiti dan ibu tunggal untuk menambah pendapatan bulanan mereka dengan memasarkan produk Vida Beauty tanpa mengeluarkan sebarang modal.

    Dengan keuntungan yang diperoleh daripada sistem ini. Mereka dapat menjana pendapatan dan mengumpul modal bagi membina perniagaan mereka sendiri. Tanpa perlu mengeluarkan modal yang tinggi melalui pinjaman bank atau tanpa me­minjam langsung daripada pihak bank.

    Berhenti kerja untuk berniaga sepenuh masa

    Perlukah dan berbaloikah kita meninggalkan kerjaya yang sedia ada untuk membina empayar perniagaan sendiri? Pada pendapat saya, perniagaan patut dimulakan ketika kita masih bekerja. Kita tidak perlu berhenti kerja dan berikan tum­puan penuh untuk perniagaan yang akan dijalankan. Buat saja terlebih dahulu secara sambilan. Gaji bulanan yang sedia ada, gunakan untuk menyara hidup dan keperluan yang lain, termasuklah sedikit modal untuk menjayakan idea perniagaan impian.

    Kita juga tidak perlu membuat pinjaman yang banyak dan kemudiannya tertekan untuk mendapatkan pulangan secepat mungkin bagi membayar semula hutang. Dalam zaman komunikasi serba canggih ini, kemudahan untuk mulakan perniagaan tanpa perlu berhenti kerja adalah sesuatu yang mampu dilakukan dan mudah dilaksanakan. Asalkan kita boleh bahagikan masa dan tidak lari daripada tanggungjawab yang diberikan dalam kerja makan gaji, tidak ada apa yang perlu dirisaukan.

    Ambillah masa untuk membina empayar perniagaan sendiri secara perlahan-lahan. Perkara yang paling utama, jangan membuat sebarang pinjaman secara mengejut dan tanpa peranca­ngan. Akan tiba satu masa, perniagaan tersebut akan berkembang dan mampu menanggung diri serta keluarga untuk berhenti kerja dan anda dapat memberikan tumpuan pada perniagaan tersebut sepenuh masa.

    Berniaga dengan modal kecil

    Selain itu, anda juga boleh memulakan perniagaan dengan menggunakan modal yang kecil. Seperti saya, modal paling kecil yang pernah saya belanjakan adalah sebanyak RM50. Ketika itu, saya hanya menjual kain batik, telekung, sambal daging dan keropok yang saya beli dari pembekal di Kelantan. Keuntungan daripada jualan tersebut saya kumpul untuk dijadikan modal pusingan dan simpanan bagi menampung kos perbelanjaan saya semasa melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

    Setelah habis pengajian di USM, saya menjadi tenaga pe­ngajar di sebuah sekolah di Ipoh. Ketika itu, saya berniaga secara kecil-kecilan di pasar malam dan bazar Ramadan dengan modal yang saya ambil dari gaji bulanan saya. Keuntungan daripada jualan tersebut saya kumpul dan gunakan untuk menimba ilmu bagi membuka salun kecantikan saya sendiri. Saya dapat lihat perniagaan dalam bidang kecantikan mempunyai masa depan yang cerah dan serasi dengan minat saya. Bagi mencapai impian tersebut, saya telah mengikuti kursus dalam bidang kecantikan iaitu dandanan rambut dan solekan.

     


    Disusun semula dari penulisan asal yang ditulis oleh Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman.

    Sumber: Utusan Online

    Fetured Image: Designed by snowing / Freepik


    The post Modal atau berniaga dahulu? appeared first on SME Niaga.

    Comments Off on Modal atau berniaga dahulu?