• news

    Antara Jualan dan Pemasaran

    Ramai peniaga tidak dapat membezakan antara jualan dan pemasaran. Ada yang menganggap kedua-duanya adalah perkara sama. Kali ini, dikongsikan apakah kaitan dan perbezaan antara jualan dan pemasaran.

    Ia adalah dua perkara yang berkait rapat dan bertujuan meningkatkan pendapatan perniagaan. Oleh itu, ia sukar untuk merealisasikan perbezaan di antara kedua-duanya. Dalam perniagaan yang kecil, kita tidak dapat menemui banyak perbezaan antara jualan dan pemasaran.

    Tetapi bagi perniagaan yang lebih besar, perbezaannya jelas dan kita perlu mempunyai kepakaran khusus untuk mengendalikan secara fokus dan terperinci.

    Jadi bagaimanakah jualan dan pemasaran itu berbeza? Dalam perkataan yang mudah, jualan boleh disebut sebagai proses pengkhususan dan menyasarkan individu atau kumpulan kecil. Sebaliknya pemasaran pula menyasarkan kumpulan lebih besar.

    Konsep jualan dan pemasaran mempunyai perbezaan yang banyak. Jualan hanya tertumpu kepada penukaran permintaan pengguna yang sesuai dengan produk. Tetapi tujuan pemasaran adalah memenuhi kehendak dan tuntutan pengguna supaya mesej yang hendak disampaikan menepati golongan sasaran.

    Jualan

    Jualan merujuk kepada sasaran jangka pendek bagi penjualan produk atau melakukan apa yang perlu untuk menjual. Teknik jualan dan strategi bergantung kepada apa yang diperlukan agar berlakunya proses jual beli.

    Jika anda mempunyai pelanggan tetapi tidak mampu me­yakinkan mereka untuk membeli produk, anda mempunyai masalah dengan strategi penjualan. Strategi jualan adalah tertumpu pada pembeli individu dan teknik yang perlu dilakukan untuk memastikan mereka mengeluarkan wang atau klik pada butang beli ketika melawati laman web jualan dalam talian.

    Kita sebagai peniaga perlu menetapkan sasaran jumlah jualan bagi tempoh tertentu (minggu, bulan dan suku tahunan) dan mempunyai strategi mencapai sasaran tersebut.

    Kebiasaannya, perlu ada unjuran jualan bagi kempen yang dijalankan dan pencapaian yang diraih. Tetapi jika tiada kempen, perlu berbuat sesuatu supaya berlakunya aktiviti jualan yang konsisten setiap hari.

    Pemasaran

    Pemasaran boleh dianggap sebagai permulaan bagi jualan untuk menawan hati pengguna. Ini menggunakan pelbagai kaedah se­perti penjenamaan dan pengiklanan melalui media cetak (surat khabar, majalah, risalah), media elektronik (radio dan televisyen) atau media sosial (melalui iklan viral Facebook, Instagram) bagi mewujudkan kesedaran tentang produk jualan anda.

    Ia adalah konsep jangka panjang dan berkait dengan strategi memahami keperluan pelanggan, mempengaruhi persepsi pelanggan dan mengenal pasti bagaimana kita dapat memanfaatkannya.

    Hasil daripada proses pemasaran dan strategi yang dilaksanakan dapat membantu menjadikan penjualan lebih mudah. Teknik pemasaran dan strategi adalah berdasarkan kepada ke­perluan mengenal pasti produk jualan yang sesuai, harga produk mampu dibeli dan apa yang perlu disampaikan kepada pelanggan sasaran (melalui iklan) agar penjualan produk berjaya.

    Pemasaran merangkumi pe­nye­lidikan (mengenal pasti ke­perluan pelanggan), pemba­ngunan produk (menghasilkan produk inovatif) dan mempromosikan produk (melalui iklan) serta mewujudkan kesedaran mengenai sesuatu produk dalam kalangan pengguna.

    Apabila produk dikeluarkan dan berada di pasaran, kita perlu menjalankan tugas memujuk pelanggan atau pengguna membeli produk tersebut. Seterusnya, kita harus meyakinkan prospek kepada pembelian dan pesanan produk tersebut.

    Selain itu, pemasaran amat penting untuk jangka masa panjang manakala jualan mempunyai matlamat yang lebih pendek. Pemasaran melibatkan proses yang lebih panjang untuk membina penjenamaan dan mencari pe­langgan membeli walaupun mereka tidak memerlukannya. Berlainan dengan jualan, ia adalah proses jangka pendek dan fokus kepada pengguna sasaran sahaja.

    Cara pemasaran

    Satu daripada aspek utama strategi pemasaran ialah membina identiti jenama bagi memudahkan kita menjual dan perlu menggunakan pendekatan yang berbeza daripada produk lain di pasaran.

    Sebagai contoh, produk Pamoga. Pada ketika itu, masih tiada lagi produk kesihatan tradisional seumpama dengannya. Dr. Vida mula menjual Pamoga melalui kios kecil dan mempromosikan Pamoga melalui slot program Radio di Perak dan Kelantan. Sasaran beliau pada waktu itu, adalah masyarakat setempat yang ber­umur dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun.

    Nama Pamoga mulai terkenal kerana sebutannya mudah. Dengan menggunakan pendekatan berkongsi pengalaman daripada masalah penyakit darah tinggi yang beliau hidapi dan bagaimana menghadapinya.

    Ini menyebabkan para pendengar merasa dekat dan berjaya mengubah prospek sebagai pembeli tetap produk Pamoga. Secara tidak langsung, aktiviti mempromosikan Pamoga berjaya dan mewujudkan permintaan tinggi dalam kalangan pengguna yang mempunyai masalah yang sama.

    Percaya atau tidak, produk Pamoga terjual dengan mudah sehingga kehabisan stok. Ju­alan bulanan pada waktu itu mencecah hingga jutaan ringgit dan berterusan beberapa bulan lamanya.

    Strategi

    Apabila membincangkan me­ngenai Pemasaran vs Jualan, antara perkara penting yang perlu diambil kira pemilik perniagaan adalah mempertimbangkan kedua-dua aspek jualan dan pemasaran secara keseluruhan.

    Dalam sesebuah perniagaan, pemasaran dan jualan harus dikendalikan oleh kumpulan atau individu yang sama kerana kedua-duanya saling berkait dan mempunyai tujuan sama.

    Strategi jualan perlu mempunyai mesej yang sama seperti mesej pemasaran untuk menjadikan ia lebih berkesan dan memaksimumkan peluang untuk menjadikan jualan lebih mudah dan berjaya.

    Kita harus sentiasa fokus dan ambil tahu mengenai kehendak dan keperluan pengguna dari semasa ke semasa bagi memastikan penjualan kita semakin meningkat. Pendek kata, aktiviti jualan dan pemasaran perlu seimbang kerana masing-masing saling memerlukan antara satu sama lain dengan persembahan gaya tersendiri bergantung kepada syarikat atau individu yang menjalankan perniagaan berkenaan.

     


    Disusun semula dari penulisan asal yang ditulis oleh Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman.

    Sumber: Utusan Online

    Fetured Image: Designed by Freepik


    The post Antara Jualan dan Pemasaran appeared first on SME Niaga.

    Comments Off on Antara Jualan dan Pemasaran