news

Jangan Takut dan Jangan Mengalah

Antara usahawan tempatan yang sangat memberi inspirasi diatas kejayaan beliau dan ramai yang cuba untuk mengikuti saranannya ialah Tuan Hj Ali Hassan bin Mohd Hassan.

Sebut nama beliau mungkin ramai yang tidak kenal. Tapi bila sebut Al-Ikhsan, sudah pasti ramai yang tahu. Tuan Hj Ali Hassan ialah Pengasas dan Pengerusi Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd.

Nota ini telah dicatatkan semasa sesi perkongsian beliau di slot Inspirasi radio IKIM beberapa tahun lepas. Dikongsikan supaya menjadi inspirasi anda semua.

Segalanya bermula dari keluarga

alihassan

Anak bongsu daripada 8 adik beradik. Keluarganya sangat menekankan pendidikan agama di rumah. Anak yang nakal. Pernah dihalau dari rumah kerana tidak solat awal waktu. Awal waktu OK. Bukan tidak solat. Semasa dihalau, beliau berkelana selama sebulan dan akhirnya kembali ke rumah tanpa dicari oleh keluarganya.

Beliau sangat menyanjungi ibu dan ayahnya dan beliau percaya pembentukan peribadinya adalah hasil didikan kedua ibubapanya.

Ibu dan ayahnya seorang yang kuat bersedekah. Semasa ayahnya pencen, separuh daripada duit pencennya disedekahkan.

Beliau pernah bertanya, apakah yang ibunya doakan dia setiap kali lepas solat. Ibunya kata ibu doakan supaya Ali berjaya dan kaya, bagi ibu duit yang banyak supaya ibu boleh bersedekah lebih banyak! Mashaallah! Dahsyatnya doa seorang ibu sehingga menjadikan beliau benar-benar berjaya.

Sebab itu beliau percaya, rahsia kejayaannnya adalah kerana investment ibu bapanya yang kuat bersedekah dan kuat berdoa untuk anak-anak mereka, di samping amalan keluarganya juga iaitu:

  1. Jaga solat awal waktu
  2. Jaga hubungan dengan ibu dan bapa
  3. Bersedekah

Rahsia Kejayaan Dalam Perniagaan

Selepas menamatkan pendidikan dalam bidang Diploma Kejuruteraan Mekanikal UTM, beliau dapat tawaran ke luar negara. Tapi ditolak kerana kesusahan keluarga dan ingin membantu keluarga.

Memulakan perniagaan menjual kasut sukan dengan modal RM50 sahaja sehingga dapat membuka kiosk kecil bersaiz 100 kaki persegi dengan seorang pekerja. Sekarang beliau telah mempunyai 117 cawangan Al-Ikhsan dan menjadi champion dalam bidang ini selepas 26 tahun, iaitu sejak tahun 1993.

Pesanan beliau jika ingin berjaya dalam perniagaan:

#1 – Jangan Takut dan Jangan Mengalah

Ketika syarikat kita kecil memang banyak masalah. Sama macam beliau juga. Kurang modal. Bank tidak mahu bagi pinjaman. Di pandang rendah terutama apabila ingin menyewa lot kedai di pasaraya-pasaraya besar. Ketika itu big player dalam bidang sukan ialah bukan bumiputra.

Tapi anggaplah perniagaan kita macam peperangan Badar. Tentera Islam ketika itu hanya 300 orang dan tentera musuh 1000 orang. Tapi tentera Islam mendapat kemenangan besar. Yang penting yakin dengan perniagaan kita dan bersabar.

Sekarang Al-Ikhsan adalah pemain utama dalam industri peralatan sukan di Malaysia. Dari retailer kepada wholesaler dan sekarang menjadi main distributor untuk jenama-jenama terkenal seperti Asics, Canterbury dan Teka. Paling menarik jenama-jenama ini yang mencari dan meminta Al-Ikhsan untuk menjualkan produk mereka. Bukan Al-Ikhsan yang datang kepada mereka.

#2 – Betulkan niat dan fokus

Seperti solat yang dimulakan dengan niat, bisnes juga kena betulkan niat. Jika niat nak menipu orang memang hidup akan huru-hara. Tapi jika niat ingin membantu orang atau pelanggan, pasti Allah akan bantu.

Pesan beliau, fokus dalam satu bidang dan jangan mengalah. Orang yang asyik melompat dari satu perniagaan ke satu perniagaan akan susah nak berjaya atau jika berjaya pun, kejayaannya akan biasa-biasa sahaja

Sebab itu bila beliau fokus dalam satu bidang, kita boleh mengembangkan perniagaan dalam bidang yang sama dan menjadi pakar dalam bidang itu. Perniagaan kita juga akan menjadi kuat dan insyaallah pelbagai cabaran ketika fasa ini akan dapat diatasi dengan mudah.

Seperti beliau yang bermula sebagai retailer, wholesaler dan sekarang major distributor untuk jenama antarabangsa. Bisnes beliau masih berkait dengan peralatan sukan. Go deep, not wide! Jadikan perniagaan kita seperti akar tunjang.

#3 – Cari ilmu dan bertindak cepat

Sentiasa belajar dan terus amalkan ilmu itu secepat mungkin. Anak muda sekarang katanya, baca macam-macam ilmu di internet. Sertai pelbagai seminar perniagaan. Tetapi apabila tidak buat, tiadalah hasilnya.

Seperti kita kaji buah durian. Bertahun-tahun kaji tapi tidak pernah kopek dan rasa, kita tidak akan tahu kenikmatannya.

#4 – Jangan sibuk nak buka cawangan

Yang ada tu mantapkan dulu. Jana kewangan semaksimum mungkin. Dah mantap, ada sistem yang terbukti berkesan, baru kembangkan.

#5 – Jangan sibuk nak jumpa ramai orang

Jadilah seperti helang, lone ranger tapi terbang gagah diangkasa dan digeruni.

#6 – Jangan berlagak pandai

Sentiasa tunjuk bodoh bila jumpa orang lain. Melainkan orang itu yang minta pendapat kita.

#7 – Jangan malas

Beliau semasa diperingkat awal berniaga, bekerja sehingga 18 jam setiap hari.

Program CRS

Syarikatnya meneruskan amalan bersedekah kedua ibubapanya. Beliau telah menubuhkan team CSR yang bertugas mencari pelajar susah setiap minggu. Memberi motivasi talk secara percuma kepada pelajar-pelajar universiti. Beliau niatkan pahalanya diberikan kepada kedua ibubapanya.

Malah kubur ibunya sentiasa diziarahi oleh anak yatim kerana sepanjang hayat ibunya beliau ada dua rumah anak-anak yatim. Pesanan beliau, kejarlah akhirat, dunia akan mengejar kita.

 


Disusun semula dari penulisan asal yang ditulis oleh Puan Rosfazila Ramli


 

The post Jangan Takut dan Jangan Mengalah appeared first on SME Niaga.